“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Israa’ ayat : 36)
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, Perhimpunan Penjawat Awam dan Perutusan Tahun Baharu 2026 dapat kita adakan pada hari ini. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang dapat hadir seterusnya memberi ruang kepada kita untuk menilai pencapaian sepanjang tahun 2025 serta menetapkan hala tuju, keutamaan dan fokus bagi tahun 2026 khususnya dalam aspek peningkatan hasil dan kelestarian kewangan MDBG.
Ayat yang saya bacakan di permulaan ucapan tadi mengingatkan kita bahawa setiap pendengaran, penglihatan dan perbuatan akan dipertanggungjawabkan. Peringatan ini amat bertepatan dengan peranan kita sebagai penjawat awam yang memikul amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan organisasi. Sebagai warga kerja PBT, kita bukan sahaja dinilai melalui hasil kerja dan pencapaian, tetapi juga melalui integriti, disiplin serta keikhlasan dalam melaksanakan tugas. Jawatan adalah amanah, dan amanah ini menuntut kita untuk bekerja dengan jujur, telus serta berpegang kepada prinsip serta peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua jabatan dan warga kerja serta Ahli Majlis yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas masing- masing. Pencapaian dan kelancaran operasi Majlis adalah hasil usaha berpasukan yang digerakkan secara bersama dan terancang.
Sepanjang tahun 2025, kita telah menunjukkan pencapaian yang amat baik di mana ianya telah mendapat pengiktirafan di peringkat komuniti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pencapaian ini membuktikan bahawa apabila kita bekerja sebagai satu pasukan, berpegang kepada disiplin dan amanah, organisasi mampu bergerak ke hadapan walaupun menempuhi pelbagai cabaran. Namun saya juga ingin menegaskan bahawa pencapaian ini bukan alasan untuk kita berasa selesa. Masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian agar perkhidmatan yang kita sampaikan benar-benar memenuhi aspektasi rakyat.
Memasuki tahun 2026, Majlis Daerah Batu Gajah perlu melangkah dengan lebih tersusun, strategik dan hasil yang memberikan impak yang tinggi. Tahun ini bukan sedakar meneruskan rutin sedia ada, tetapi tahun untuk kita memperkemaskan cara bekerja dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Kita perlu bersikap realistik dan berterus terang. Keupayaan MDBG untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti amat bergantung kepada kekuatan hasil dan pengurusan kewangan yang berhemah.
Tanpa hasil yang mencukupi dan mampan, perkhidmatan pastinya tidak dapat diberikan dengan sempurna seperti yang diharapkan oleh rakyat. Seterusnya infrastruktur asas yang sepatutnya memberikan kemudahan kepada rakyat tidak dapat diselenggara dengan baik dan kebajikan kakitangan dan pembangunan organisasi akan turut terjejas. Oleh yang demikian, usaha peningkatan hasil bukan hanya tanggungjawab jabatan tertentu sahaja tetapi ianya merupakan tanggungjawab yang harus digalas bersama seluruh warga kerja MDBG mengikut peranan dan fungsi masing- masing.
Bagi tahun 2026, saya ingin menegaskan bahawa MDBG akan memberi fokus kepada tiga teras utama, iaitu:
I. Kualiti perkhidmatan
II. Integriti dan tadbir urus
III. Peningkatan hasil dan kelestarian kewangan
Fokus 1: Kualiti Perkhidmatan
Perkhidmatan yang baik akan meningkatkan keyakinan masyarakat dan seterusnya menyokong usaha-usaha peningkatan hasil. Sehubungan dengan itu, setiap jabatan perlu lebih cekap, mesra dan mengamalkan budaya kerja proaktif dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses kerja tanpa melanggar dasar, peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.
Seterusnya, memastikan aduan ditangani secara cepat dan berhemah. Perlu kita fahami hakikat bahawa sejauh mana pun perancangan kita, setinggi mana pun sasaran hasil yang kita tetapkan, semuanya tidak bermakna jika masalah harian rakyat yang paling asas gagal kita selesaikan dengan baik. Kita mesti ada satu mentaliti yang jelas bahawa aduan rakyat bukan gangguan kepada pentadbiran. Sebaliknya, aduan rakyat adalah cerminan kepada keberkesanan pentadbiran. Di situlah rakyat menilai sama ada MDBG benar-benar berfungsi untuk mereka atau sebaliknya.
Program turun padang atau TURPA dan mesyuarat pemantauan aduan mesti digunakan tetapi bukan hanya untuk melapor, sebaliknya menjadi wakeup call untuk membetulkan sistem dan mengurangkan aduan rakyat yang berulang kali. Dalam hal ini saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ahli Majlis yang sentiasa meluangkan masa turut serta dalam program TURPA yang dianjurkan bagi mengambil tindakan ke atas setiap aduan yang diterima.
Kemuncak kepada pemerkasaan perkhidmatan ini adalah kepuasan pelanggan yang optimum. Setiap aduan rakyat adalah suara hati insan-insan yang berharap untuk didengari. Apabila kita menyelesaikannya dengan jujur, kita bukan hanya menyelesaikan masalah, tetapi sedang membina kepercayaan dan memelihara martabat perkhidmatan awam yang kita junjung bersama.
Fokus 2: Integriti dan Tadbir Urus
Integriti adalah asas kepada kepercayaan. Tahun 2026 menuntut pematuhan sepenuhnya kepada peraturan dan undang-undang. Dalam hubungan ini pihak Majlis telah mengadakan Bengkel Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) pada Disember 2025. Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan integriti, memperkukuhkan tadbir urus, dan menangani risiko rasuah serta salah guna kuasa di peringkat dalaman.
Selanjutnya MDBG juga ke arah pensijilan MS ISO 37001:2025 (Anti- Bribery Management System) di mana satu bengkel pengenalan selama 4 hari telah diadakan pada awal tahun ini. Kita mensasarkan persijilan ini akan diperolehi pada bulan November 2026, insyaAllah. Sebagai makluman juga, ABMS ini merupakan satu sistem yang mengawal risiko rasuah di dalam organisasi. Saya selaku Ketua Jabatan menegaskan di sini bahawa tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan imej organisasi.
Fokus 3: Peningkatan Hasil dan Kelestarian Kewangan
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, adalah menjadi keutamaan pada tahun ini untuk kita memperkemaskan, mengoptimumkan dan mempelbagaikan sumber hasil Majlis. Antara penekanan utama ialah :
Pertama – Pemantapan Kutipan Hasil Sedia Ada
Untuk makluman, senarai nilaian baharu cukai taksiran telah mula berkuatkuasa pada tahun ini. Justeru itu, saya mensasarkan kutipan semasa cukai taksiran adalah sebanyak 90% manakala kutipan tunggakan cukai taksiran adalah sebanyak 50%. Namun, kutipan hasil seperti lesen, sewaan dan caj perkhidmatan yang lain hendaklah diurus dengan lebih sistematik agar ketirisan hasil dapat ditangani dengan lebih tegas.
Kedua – Penguatkuasaan yang Berhemah Tetapi Berkesan Penguatkuasaan bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi ia bertujuan memastikan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Penguatkuasaan yang konsisten akan meningkatkan kadar pematuhan dan secara tidak langsung akan melonjakkan hasil Majlis.
Ketiga – Pendigitalan
Penggunaan sistem digital melalui aplikasi yang telah diperkenalkan seperti Jom Bayo, JomPay dan lain-lain aplikasi atas talian perlu diperluaskan untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan kepada pelanggan.
Keempat – Penerokaan Sumber Hasil Baharu
MDBG perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mengenalpasti potensi hasil baharu yang sah di sisi undang-undang tanpa membebankan rakyat serta tidak menelan kos yang tinggi. Saya mengalu-alukan idea, cadangan dan buah fikiran daripada tuan-tuan tanpa mengira gred dan pangkat untuk dikongsi demi kebaikan bersama.
Saya amat berharap agar ketiga-tiga fokus yang telah digariskan sebentar tadi menjadi teras kepada gerak kerja kita pada tahun ini. Ianya merupakan mantera yang menjadi hala tuju kepada kejayaan yang kita harapkan. Saya tidak mahu ianya sekadar menjadi halwa telinga, penyedap rasa dan sekadar pengisian acara pada hari ini. Skrip telah saya sediakan, arahan telah dikeluarkan, maka tugas tuan-tuan dan puan-puan yang akan menjayakan watak di pentas yang telah terbentang.
Saya sedar dan saya akui sebahagian besar kerja yang kita laksanakan jauh daripada perhatian umum. Tidak semuanya mendapat pujian, tidak semuanya mendapat pengiktirafan, tidak semuanya mudah dan adakalanya dilakukan dalam tekanan dan kekangan.
Namun percayalah setiap tugas yang dilaksanakan dengan jujur dan tanggungjawab menyumbang secara langsung kepada kepercayaan rakyat terhadap organisasi ini. Sebagai Yang Dipertua, saya tidak menuntut kesempurnaan. Kita hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekhilafan dan kesilapan. Saya hanya berharap kita terus bekerja dengan hati yang betul, niat yang bersih dan semangat untuk melakukan yang terbaik dalam ruang kemampuan masing-masing.
Marilah kita mengharungi tahun 2026 ini dengan semangat kebersamaan, saling menyokong, saling peduli dan saling menghargai peranan masing-masing. Saya berdoa kepada Allah SWT agar kita semua diberikan kesihatan tubuh badan, kecerdasan akal fikiran dan jati diri yang unggul agar amanah yang kita pikul ini dapat kita laksanakan dengan jayanya.
Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.
“Tingkatkan Prestasi Kurangkan Kontroversi”