Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Perutusan YDP

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030,

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, Perhimpunan Penjawat Awam Bilangan Pertama dan Perutusan Tahun Baharu 2025 Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dapat kita adakan pada hari ini. Terima kasih kepada semua yang dapat hadir khususnya Penguasa Mohamad Rosli bin Yusuf yang mewakili SPRM Negeri Perak serta barisan ahli-ahli Majlis kerana dapat melapangkan masa bersama dalam kesibukan tugas harian untuk hadir pada hari ini.

Terima kasih juga kepada pihak urusetia yang telah berjaya menganjurkan perhimpunan ini yang pada hemat saya amat tepat pada masanya kerana memasuki tahun baharu 2025 pastinya ada perkara yang perlu disampaikan untuk sama-sama kita hayati dan renungi serta tindakan-tindakan yang harus diambil bagi mendepani cabaran yang mendatang pada tahun ini. Tidak terlewat juga untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada semua dan saya mendoakan agar tahun ini dapat menghadirkan lebih banyak kejayaan dan pencapaian berbanding tahun lalu.

Perhimpunan pada hari ini bertemakan “1 Tekad Lawan Rasuah”. Pemilihan tema ini sejajar dengan matlamat kerajaan Madani yang berusaha untuk menentang secara tuntas budaya dan amalan rasuah. Integriti dan tatakelola yang sedang dibudayakan akan terus diangkat dan didokong serta menjadi panduan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyaraka

Justeru itu saya telah mengambil inisiatif dengan turut mengadakan majlis Ikrar Bebas Rasuah yang akan dipimpin oleh saya sendiri sebentar nanti. Ikrar ini nanti menunjukkan komitmen serta kesungguhan kita selaku penjawat awam MDBG dari semua peringkat dengan 1 Tekad Lawan Rasuah. Harapan saya ikrar yang bakal dilafaz bukan sekadar ucapan kata-kata sahaja tetapi harus dihayati dan diikuti bagi membina jati diri yang unggul dalam melawan rasuah. Jutaan terima kasih juga kepada pihak SPRM yang akan turut memberi ceramah berkaitan integriti dan rasuah yang saya yakin dan percaya dapat membantu kita sebaiknya. Saya berharap kerjasama seperti ini tidak akan terhenti setakat ini tetapi akan diteruskan lagi pada masa hadapan dengan program dan pengisian lain agar kita terus kekal istiqamah.

Ikrar Surat Akujanji Penjawat Awam yang telah kita sama-sama lafazkan sebentar tadi menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh setiap penjawat awam. Jika diteliti dan dihayati sembilan perkara diikrarkan banyak disentuh berkenaan integriti sebagai penjawat awam. Melaksanakan tugas dengan cermat, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab contohnya merupakan mandatori tanpa mengira apa sahaja jawatan yang disandang. Tanpa nilai-nilai murni ini kredibiliti kita sebagai penjawat awam tidak akan dipandang tinggi oleh masyarakat yang sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik untuk mereka. Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah adakah ikrar yang dibuat setiap tahun ini menjadi ikutan dan sandaran kita sebagai penjawat awam khususnya ketika bertugas di MDBG. Adakah kita benar-benar berazam meningkatkan mutu perkhidmatan? Adakah kita tidak menggunakan kedudukan sebagai pegawai awam bagi faedah diri sendiri? Adakah kita tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam?

Persoalan ini sering berlingkar di benak fikiran saya dan menjadi perbualan masyarakat di luar sana. Penjawat awam kini menjadi perhatian dan sentiasa diperhatikan setiap tingkah laku, perbuatan dan cara kita bekerja. Sebagai agensi yang memberikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, kita juga tidak dapat lari dari mendapat perhatian “istimewa” Persepsi yang mengatakan penjawat awam lembab, korup, malas dan tidak berusaha perlu dihentikan dengan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

Justeru itu saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian supaya menghayati ikrar yang telah dibuat tadi serta membuang semua sikap yang tidak menggambarkan kita sebagai penjawat awam. Kejayaan sesebuah organisasi adalah terletak kepada sumber manusianya. Oleh yang demikian saya menyeru tuan/puan bersama-sama saya untuk terus memacu kecemerlangan dan kejayaan MDBG secara berterusan. Pencapaian dan kejayaan yang telah kita terima sebelum ini bukanlah dari usaha Yang Dipertua, Setiausaha dan Ketua jabatan semata-mata tetapi ianya adalah adunan kerjasama dan kerja berpasukan yang diterap dan diamalkan secara bersama.

Saya ingin berkongsi sedikit ucapan YAB Perdana Menteri semasa Majlis Perhimpunana Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2025 pada 3 Januari yang lalu. YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa penjawat awam perlu mempunyai satu ketetapan dalam tugas untuk melonjakkan ekonomi dan prestasi negara. Jika sekarang kita dapat menyelesaikan sesuatu urusan dalam tempoh beberapa minggu, maka sasaran kita seterusnya dapat menyelesaikan urusan tersebut dalam masa satu minggu. Beliau turut menyatakan bahawa cabaran untuk melakukan transformasi digital. Kita tidak mahu rakyat beratur berjam jam atau mengambil cuti untuk menyelesaikan sesuatu urusan yang melibatkan tatakelola penjawat awam. Beliau turut menambah penjawat awam khususnya golongan muda perlu diberikan pendedahan maksimum dan latihan dalam bidang kritikal seperti kecerdasa buatan atau AI serta peralihan tenaga bagi memperkukuhkan kecekapan mereka.

Penjawat awam telah menerima berita gembira susulan pengumuman YAB Perdana Menteri sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 pada 16 Ogos tahun lalu dan disusuli dengan pengumuman Sistem Saraan Malaysia digantikan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam atau SSPA. Pengumuman YAB Perdana Menteri itu juga hadir bersama ingatan tegas kepada penjawat awam yang perlu kita sama-sama beri perhatian. Beliau menekankan soal tatakelola dan pengukuhan integriti penjawat awam di semua peringkat. Berkali-kali beliau tegaskan soal kecekapan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan mengelakkan ketirisan dalam jabatan kerajaan. Inilah cabaran besar yang perlu dihadapai dan ditangani oleh seluruh penjawat awam. Pelarasan gaji yang telah diterima pada bulan Disember tahun lalu harus seiring dengan peningkatan prestasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien.

Maka marilah kita bersama-sama bekerja keras memikirkan strategi dan kaedah untuk meningkatkan hasil dan pendapatan Majlis. Kita tidak seharusnya merasa selesa dengan apa yang kita punyai hari ini kerana jika ianya tidak diurus dengan betul dan cermat ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada MDBG itu sendiri. Oleh yang demikian saya terpaksa mengambil beberapa langkah penjimatan yang kadangkala tidak disenangi tetapi percayah tindakan tersebut diambil untuk kepentingan organisasi dan sokongan serta kerjasama tuan/puan amatlah saya harapkan.

Sebagai penutup kepada ucapan saya pada hari ini, sekali lagi saya tidak kisah untuk terus mengulangi bahawa saya ingin mengingatkan diri saya dan tuan/puan bahawa pekerjaan kita ini adalah satu ibadah. Apabila dibicara soal ibadah ianya hendaklah dilakukan dengan penuh ketertiban, keikhlasan, jujur dan bertanggungjawab. Dengan cara itu saya percaya kita akan bekerja dengan gembira tanpa tekanan yang kadangkala boleh menjejaskan prestasi. Berkomunikasilah dengan penuh hikmah dan diplomasi. Bekerja secara berpasukan dan tidak membina reputasi buruk kepada rakan dan organisasi. Dengan cara ini saya amat yakin dan percaya kita mampu bergerak lebih jauh ke hadapan dalam mencapai misi dan visi organisasi.

Akhir sekali sempena tahun baharu 2025 ini marilah kita sama-sama menanam azam dan tekad untuk menjadi yang lebih baik dan dengan semangat baharu dan visi yang lebih jelas, saya yakin Batu Gajah akan terus berkembang dan membanggakan setiap warganya. Marilah kita bersama-sama menjadikan 2025 sebagai tahun yang penuh pencapaian, kegemilangan, kegembiraan, dan kebahagiaan bagi semua.

“1 Tekad Lawan Rasuah”

“Tingkatkan Prestasi Kurangkan Kontroversi”

 

Sekian,

wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

MOHAMAD RAZIF BIN RAMLI, PMP., AMP.,

Yang Dipertua
Majlis Daerah Batu Gajah
  • Utama
  • Korporat
  • Perutusan YDP
mygov
mampu
mdec
mdec
mof
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
Hakcipta Terpelihara © 2024 Majlis Daerah Batu Gajah . Kemaskini : 22/01/25 • Jumlah Pelawat : 21286990