MENU

Program Bandar selamat merupakah salah satu program yang di letakkan di dalam salah satu daripada 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu NKRA – Mengurangkan Kadar Jenayah.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Januari 2004 telah mencadangkan supaya diwujudkan bandar dan pekan yang selamat sebagai langkah mencegah jenayah. Selaras dengan matlamat tersebut, Program Bandar Selamat telah diwujudkan oleh Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung (JPBD) bagi dilaksanakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Untuk makluman, Program Bandar Selamat yang dilaksanakan di peringkat PBT ini bermatlamat mewujudkan ;

  • Bandar yang bebas dari keganasan (violence) merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya.
  • Bandar yang bebas dari kemusnahan dan malapetaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
  • Bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral (social and moral decay) seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya.
  • Bandar yang bebas dari kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya.

 

Pihak Jabatan Perancangan Bandar & Desa selaku Urus Setia NKRA Program Bandar Selamat juga telah menggariskan 5 Langkah Pelaksanaan Segera untuk dilaksanakan di peringkat PBT bagi mengurangkan jenayah iaitu ;

  • Pengasingan Laluan Pejalan Kaki dengan Jalan Bermotor
    • PBT akan mengenalpasti beberapa tumpuan kawasan awam seperti stesen bas dan rel disediakan bagi mengasingkan pejalan kaki dari laluan motor.
  • Penyediaan Bollard atau Rel Penghadang
    • PBT akan menyediakan bollard atau rel penghadang di tempat-tempat tertentu bagi mengasingkan laluan pejalan kaki dengan laluan motosikal.
  • Mencuci / Mengemas Kawasan-Kawasan Semak dan Terlindung
    • Meningkatkan pembersihan kawasan-kawasan kotor dan grafiti khususnya, di tempat-tempat awam seperti di sekitar laluan stesen bas, rel dan lorong-lorong tepi dan belakang premis perniagaan utama. Dengan demikian, tempat-tempat ini akan mudah diawasi oleh PBT dari aktiviti-aktiviti jenayah.
  • Memastikan Laluan Awam Tidak Terlindung Atau Terhalang Dari Pandangan Awam
    • Jejantas tidak dipenuhi dengan papan-papan iklan yang boleh melindungi laluan dari pandangan awam. Ini memudahkan aktiviti jenayah ragut, aktiviti penagihan dadah dan sebagainya. Sebarang iklan di jejantas hendaklah di paras yang tidak menghalang penglihatan (seperti di paras bumbung).
  • Mencahayakan / Menerangkan Kawasan-Kawasan Gelap Yang Menjadi Sasaran Atau Tumpuan Penjenayah.
    • Memasang lampu di laluan jejantas, letak kereta, terowong dan sebagainya bagi memudahkan pengawasan. Semua premis perniagaan perlu memasang lampu di laluan kaki lima supaya mudah untuk diawasi dan tidak menjadi tempat yang mudah bagi peragut.

Projek Program Bandar Selamat bagi tahun 2012 di kawasan khas (Hotspot) 3 (Jalan Dewangsa ke Jalan Besar) yang melibatkan pemasangan rel penghadang (railing), pemasangan lampu siar kaki, pemasangan besi pengunci tempat letak motosikal dan penyediaan papan tanda talian kecemasan telah berjaya disiapkan.

Pihak Majlis Daerah Batu Gajah selaku pihak berkuasa tempatan juga telah merangka penyediaan pelan induk bandar selamat yang bakal dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kawasan MDBG kekal sebagai kawasan yang selamat, aman dan makmur serta menjadi tumpuan ramai.