MENU

BATU GAJAH:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terusan berusaha mendekati masyarakat dalam usaha meningkatkan sokongan orang ramai terhadap usaha pencegahan rasuah termasuklah menerusi Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Zainul Darus berkata bagi kali ini SPRM memberi fokus kepada pemandu teksi dan orang awam yang menggunakan perkhidmatan tersebut supaya mendapat maklumat jelas mengenai kesalahan rasuah.

“Kempen ini dijalanakan di seluruh negara dan bagi Negeri Perak kita telah lancarkan pada hari ini yang menyasarkan kepada pemandu teksi serta orang awam,” katanya ketika ditemui pada majlis Ikrar Bebas Rasuah Majlis Daerah Batu Gajah Bersama SPRM hari ini.

Jelasya lagi, kempen tersebut antara lain bertujuan untuk menyeru orang ramai tampil bekerjasama dan memberikan maklumat sekiranya mendapati berlakunya kesalahan rasuah supaya siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dijalankan.

“Kita juga mahu bantuan daripada orang ramai agar gejala rasuah dapat dikurangkan,” katanya.

Jelasnya melalui GERAH, para anggota SPRM akan mendekati para pemandu teksi di hentian teksi berhampiran di negeri ini selain berinteraksi secara dekat dengan orang awam yang berada di kawasan sekitarnya.

“Jika pemandu teksi dan orang awam jelas tentang rasuah mungkin mereka juga boleh menyampaikan maklumat kepada pihak lain yang masih belum jelas dan mengetahui cara untuk membuat aduan serta melaporkannya.

“Kita bukan hanya tertumpu bagi pemandu teksi sahaja, setiap orang termasuk juga terdedah kepada rasuah jadi pendekatan mendekati adalah menyeluruh,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini lebih 10,000 ahli telah berdaftar dengan GERAH dan SPRM Perak smensasarkan pendaftaran yang lebih banyak bagi tahun ini.

Terdahulu, Majlis Daerah Batu Gajah agensi kerajaan keenam bagi tahun ini yang tampil membuktikan komitmen anti rasuah dan melaksanakan tugas lebih berintegriti dengan menandatangani IBR.

Seramai 217 anggota termasuk 24 Ahli Majlis hadir bagi sesi kali ini yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus.

Mengetuai sesi bacaan ikrar tersebut Yang Dipertua Majlis Daerah Batu GajaH, Mohd Razif Ramli.

Jelas Zainul SPRM tidak mewajibkan setiap agensi dan jabatan melaksanakan IBR sebaliknya dilakukan secara sukarela.

Kredit : https://peraktoday.com.my/2018/01/sprm-dekati-pemandu-teksi-orang-awam-sampaikan-maklumat/