MENU

BATU GAJAH - Pengguna di sekitar Jalan Pusing tidak perlu khuatir dengan dakwaan yang mengatakan Projek Tindakan Alih Ubah Banjir Arah Hulu (Taubah) gagal mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

Pengerusi Ahli Majlis Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) Datuk Mohd Yusoff Kassim berkata, dakwaan berkenaan nyata tidak berasas kerana projek berkenaan sentiasa dipantau serta ditambah baik malah berfungsi sepanjang masa.

Menurutnya, sejak dilaksanakan, Taubah yang diinovasikan oleh MDBG sendiri telah berjaya berfungsi 100 peratus berbanding sebelum ini dan berjaya mengatasi masalah banjir kilat

“Baru-baru ini berlaku purata hujan yang tinggi daripada biasa hingga menyebabkan Taubah tidak mampu menampung jumlah air yang ditakung danq menyebabkannya melimpah ke Sungai Resam bersebelahan Jalan Pusing ini.

“Bagaimanapun, kita telah berbincang dengan jurutera MDBG selain memberikan pandangan untuk menambah baik projek dan memastikan Taubah dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian sempena program lawatan turun padang Ahli Majlis MDBG, di sekitar Batu Gajah, semalam.

Untuk rekod, projek perintis Taubah dilaksanakan awal tahun ini bagi mengatasi banjir kilat di Jalan Pusing yang melibatkan lebih 5,000 penduduk, selain mengakibatkan kerugian harta benda lebih RM160,000 sejak 2015 lalu.

Malah ia hanya melibatkan kos berjumlah RM150,000 kos yang dianggarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak RM2 juta.

Sementara itu, Setiausaha MDBG, Shahiri Tan berkata, MDBG akan menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk memperbaiki struktur tebatan pada Taubah.

Katanya, laporan juga akan dihantar kepada pihak JPS Negeri untuk tindakan selanjutnya dan kerja-kerja penambahbaikan akan dilakukan selepas peruntukan diperolehi kelak.

“Kita telah kenal pasti dua kawasan iaitu di hulu Sungai Resam berdekatan Desa Changkat dan Taman Mewah untuk kita bina lagi Taubah ini.

“Ini kerana aras air dari hulu akan dapat dikawal, ditahan dan kemudiannya dilepaskan ke hilir secara terkawal.

“Sekali gus ini akan mengelakkan berlakunya kejadian banjir kilat  di Jalan Pusing, ini,” katanya lagi.

KREDIT : SINAR HARIAN