MENU

BATU GAJAH - Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 atau lebih dikenali sebagai TT5 yang terletak di daerah Kampar merupakan antara kluster pelancongan di Perak yang mampu menjadi tumpuan utama pelancong domestik dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kapal korek bijih timah itu yang dibina pada 1938 merupakan kapal korek yang masih wujud di negara ini.

"Kapal korek ini mempunyai nilai pelancongan dan tarikan cukup tinggi kerana memiliki keunikan dan kekayaan sejarah sekali gus mempromosikan jenama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Daerah Kampar turut mempunyai pelbagai tarikan pelancongan tersendiri antaranya Gua Tempurung, Kellie's Castle, Gaharu Tea Valley yang merupakan produk pelancongan utama di negeri ini," katanya pada sidang media selepas majlis pra-pelancaran Kapsul Masa TT5 di sini hari ini.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata kerajaan negeri amat komited terhadap usaha memelihara dan memulihara semula dengan melakukan pelbagai pembaharuan untuk mempromosikan kapal korek itu demi memastikan warisan perlombongan terus kekal untuk generasi akan datang.

Nolee Ashilin berkata kerajaan negeri menerusi Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) melaksanakan pelbagai inisiatif serta penambahbaikan kapal korek itu khusus untuk keselesaan pengunjung selain menitikberatkan aspek keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan sebuah gudang di kawasan persekitaran kapal korek berkenaan.

"Pembinaan gudang yang akan dibina tidak lama lagi itu bakal menempatkan pusat komersial, gerai jualan dan pelbagai kemudahan untuk pengunjung mengadakan pelbagai aktiviti di situ," katanya. - Bernama