MENU

BATU GAJAH: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) menubuhkan pasukan pemantau dalam menyelesaikan aduan ringkas berkaitan jalan rosak dan berlubang yang perlu dibaiki atau ditampal.

 

Yang Dipertua MDBG, Mohd Razif Ramli berkata, pasukan pemantau terbabit terdiri daripada ketua seksyen, pemandu dan petugas lapangan bagi mengenal pasti jalan rosak.

 

Katanya, pasukan yang terdiri daripada 20 kakitangan itu akan menjejaki jalan berlubang dan semua laporan dan aduan dapat diperoleh dengan cepat untuk tindakan selanjutnya.

 

"Mereka ini adalah individu yang berada di lapangan, mereka tahu keadaan jalan yang mana berlubang dan perlu tindakan segera.

 

"Pasukan ini akan kenal pasti masalah dan kemudian maklumkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan segera, setakat ini memang berkesan," katanya kepada pemberita pada program turun padang di sini, hari ini.

 

Mohd Razif berkata, jalan yang berlubang akan ditampal menggunakan tar campuran sejuk yang membolehkannya diselenggarakan secara terus.

 

"Tar sejuk ini tahan lama dan mudah digunakan malah cepat sejuk, jadi bila dapat kenal pasti jalan yang rosak, kita akan baiki segera untuk pastikan jalan dalam kawasan pentadbiran MDBG dalam keadaan baik.

 

"Kita sekarang cari jalan berlubang, bukan tunggu aduan lagi atau minta kontraktor baiki jalan, cara ini lebih cekap dan jimat," katanya lagi.

 

Katanya, beliau turut menyasarkan untuk mengurangkan aduan jalan berlubang selain meningkatkan faktor keselamatan melalui kaedah tar sejuk yang digunakan itu.

 

"Sepanjang tahun 2015, kita menerima 29 aduan, 2016 hanya menerima 10 aduan, manakala tahun lepas kita terima 36 aduan memandangkan pertambahan jumlah perumahan di kawasan jagaan kita.

 

"Kita jangkakan lebih banyak lagi kawasan perumahan baru akan dibuka dan melalui cara ini juga kita harapkan jumlah aduan berjaya dikurangkan," katanya.

 

Kredit : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/371323/mdbg-tubuh-pasukan-pantau-jalan-rosak