MENU

TANJUNG TUALANG: Semenjak pembukaan Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) kepada umum pada tahun lalu, ia mendapat respons yang baik dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata dengan usahasama oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) kapal korek tersebut telah berjaya melonjakkan promosi terhadap produk warisan negeri.

Jelasnya, selain lawatan daripada pelancong, kapal korek yang terletak di Jalan Tanjung Tualang ini kian mendapat perhatian daripada beberapa produksi filem tempatan bagi melakukan pengambaran di tapak warisan tersebut.

Tambahnya lagi, kapal korek tertua di negara ini merupakan antara produk Lembah Kinta Geo Park selain daripada Gua Tempurung, Muzium Bijih Timah Kampar, Kellies Castle dan Lembah Teh Gaharu.

“Dan kini sedang rancak dibangunkan ialah Silverlakes Brand Village Outlet dan Rumah Lat yang mana ianya juga akan menjadi sebahagian daripada produk Lembah Kinta Geo Park pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Tanjung Tualang, dekat sini, pada Ahad.

Mengulas tentang ‘Rumah Lat’ ujarnya ia kini berada pada proses kerja-kerja penanaman cerucuk konkrit.

“Ini merupkan salah satu janji Kerajaan Negeri dengan membantu ikon negeri kita, Datuk Lat (Datuk Mohd Nor Khalid) untuk membawa balik segala hasil seni dan warisan beliau ke negeri Perak yang mana akan dikongsikan bersama-sama rakyat.

“Kita berharap ianya dapat disiapkan pada penghujung tahun ini,” ujarnya.

Katanya, lokasi Rumah Lat adalah berhampiran dengan Silverlakes Brand Village Outlet dekat Batu Gajah.

Kredit : Perak Today