MENU

MDKB

Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) ditubuhkan pada 01 September 1979 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pada 26 Mac 2009, MDKB ditukar nama kepada Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).  Keluasan kawasan pentadbiran MDBG sehingga Januari 2015 berjumlah lebih kurang 67,470 hektar  dengan jumlah penduduk kira-kira seramai 113,062 orang. Pusat Pentadbiran MDBG terletak di Bandar Batu Gajah dan mempunyai 3 buah pejabat cawangan iaitu Pekan Pusing, Pekan Tronoh dan Pekan Tg. Tualang. Ia bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran disamping melaksanakan kawalan yang lebih komited ke atas segala aspek pembersihan dan pembangunan bandar.

 

Sebagai sebuah organisasi yang diletakkan di bawah bidangkuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), MDBG juga bertanggungjawab di dalam Perancangan dan Pembangunan kawasan pentadbirannya bagi mewujudkan dan melahirkan satu corak kehidupan masyarakat yang sejahtera, berbudaya, dan berilmu demi menuju ke arah alaf  akan datang. Kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah meliputi lima mukim iaitu Sg. Terap, Belanja, Tg.Tualang, dan sebahagian Sg.Raia dan Hulu Kinta. Kawasan pentadbiran utama ialah di Batu Gajah dimana terletaknya pejabat MDBG di Jalan Hj Abd Wahab, manakala bandar lain pula ialah Tg.Tualang, Pusing, Tronoh, Papan, Sg. Durian, Siputeh dan Sg.Raia.

 

MDBG juga berjaya merangkul beberapa anugerah seperti Anugerah Pejabat Terbaik (Ketiga) Tahun 2003 (Kategori PBT Negeri Perak), Anugerah Kempen Jalur Gemilang (Pertama) Tahun 2003 (Kategori PBT Negeri Perak) dan Anugerah Perbarisan Kawad Sempena Bulan Kemerdekaan Tahun 2004 - Johan (Kategori Jabatan Kerajaan). Pada tahun 2010, MDBG juga telah berjaya mendapat Pensijilan MS ISO 9001:2008 pada 20 ogos 2010, Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S pada 25 November 2010 dan menerima Penganugerahan 5 Bintang Laman Web Majlis.